Di dalam tugas kita mentadbir sekolah ini, kerapkali kita akan berhadapan dengan segala macam kerenah. Karenah datangnya daripada pelbagai sudut. Ia berkaitan dengan kerenah birokrasi, kerenah jabatan, PPD, masyarakat dan ibu bapa, pelajar dan guru serta staf di bawah seliaan kita.
Dalam banyak perkara yang dinyatakan di atas, kerenah yang paling mencabar adalah daripada kalangan guru-guru dan staf sendiri. Kebanyakannya adalah berpunca daripada sikap tidak sensitif terhadap tugas dan peranan yang sepatutnya dimainkan mengikut bidang tugas masing-masing.
Sudah menjadi rutin saya di dalam setiap kali perjumpaan dengan guru-guru dan staf terutamanya pada mesyuarat pertama dan sebagai taklimat kepada staf dan guru baru , saya akan menekankan akan perkara berkaitan tugas ini. Perkara yang termasuk di dalam silibus penerangan atau taklimat saya itu ialah:
1. Siapa kita?
2. Kenapa kita bekerja?
Dua perkara ini sebenar amat remeh kalau kita pandang sekali imbas sahaja. Namun ia membawa impak yang besar jika kita hayati dan amati dengan teliti. Ini kerana banyak masalah yang timbul adalah akibat kita tidak kenal diri; siapa kita? dan kenapa kita bekerja atau wujud di dunia ini. inilah asas kepada pembentukan diri sebenarnya. Di dalam islam pun ditekan sangat agar kita mengenali diri kita dan pencipta kita dan kenapa kita dilahirkan di muka bumi ini. jadi perkara yang sama saya gunakan di dalam membentuk sikap dan keperibadian guru , staf dan murid-murid juga.
Berbalik kepada guru dan staf, persoalan di atas saya timbulkan kerana seringkali kita mendengar kelohan guru :
1. Siapalah saya ini.....
2. Saya bekerja ini kerana dibayar gaji...
3. Saya bekerja ini kerana nak cari nafkah....
Namun, kalau kita teliti sebenarnya, ada banyak perkara lagi yang perlu kita perhalusi akan hakikat siapa dan kenapa saya bekerja di atas.
Siapa kita
Bagi seorang guru, kita adalah guru. Kita harus tahu dan bersikap sebagai guru. Apabila disebut guru , maka peranan kita adalah:
1. Dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid
2. Mengajar subjek dan kemahiran yang sepatutnya
3. Menjadi contoh teladan/ model ikutan
4. Mendisiplinkan diri pelajar kita
5. Memberi peluang kepada perkembangan bakat, kemahiran dan kebolehan pelajar
6. Menjadi pakar rujuk kerpada pelajar
7. Penyelesai masalah
Cukuplah sekadar menyebut beberapa peranan di atas. Hakikatnya , memang banyak lagi peranan yang perlu dimainkan oleh guru. Seperti kata seorang penulis:' Guru Segala-galanya'. Berilah apa sahaja peranan, ia mampu dan boleh dimainkan oleh seorang guru.
Dewasa ini, masyarakat memperssoalan akan integriti dan personaliti guru. Guru kerapkali dicemuh berpunca daripada sikap dan personaliti guru yang semakin buruk dan merosot. Fenomena ini banyak berlaku di kalangan guru-guru baru.
Salah satu fenomena yang berlaku sekarang ialah, seakan-akan ada satu mazhab baru yang dipegang oleh guru-guru baru terutamanya iaitu mereka bergantung sangat kepada istilah 'tugas hakiki' iaitu mengajar. Mereka berpendapat , tugas guru adalah mengajar yang sering dirujuk kepada mengajar mata pelajaran yang diperuntukan kepada mereka. Justeru itu, sudah ada kefahaman bahawa mereka tidak perlu bersusah payah menguruskan hal-hak berkaitan aktiviti ko-kurikulum, tugas berkaitan pengurusan, dan hal ehwal murid.
Sebenarnya, mereka terlupa, bahawa di dalam falsafah pendidikan ada dinyatakan akan matlamat pendidikan itu adalah :'
'Melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani dan intelek'
Di dalam falsafah inilah terkandungnya tugas keseluruhan guru yang merangkumi tugas akademik, kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, hal ehwal pelajar dan sahsiah. Amatlah wajar, agar setiap guru diberikan peringatan semula akan falsafah pendidikan ini agar para guru tidak tergelincir daripada kefahaman akan tugas mereka. Ternyata mazhab yang menyatakan bahawa tugas guru adalah mengajar. Perkara sebenarnya , pada pendapat saya , yang perlu para guru tekan ialah 'mendidik' dan bukan sekadar mengajar yang agak sempit pengertiaannya.
Kenapa kita bekerja
Saya seringkali menekan kepada orang bawahan saya iaitu, tujuan kita bekerja ini adalah kerana;
1. Bekerja sebagai ibadah
2. Mencari rezeki yang halal/. Mendapatkan keredhaan Allah
3 Tugas dan amanah
4. Menyumbang kepada kemajuan organisasi dan ummah
5. Bukti kualiti diri
6.
Bekerja Sebagai ibadah
Saya seringkali menekankan kepada orang bawahan saya iaitu , kita bekerja ini sebagai satu ibadah. Kerja yang ikhlas, jujur, amanah , bersungguh-sungguh dengan niat yang suci , pasti akan mendapat ganjaran pahala. Semakin banyak tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan , semakin banyaklah peluang kita untuk mendapatkan pahala daripada Allah. Justeru itu , janganlah beranggapan bahawa tugas yang banyak sebagai bebanan. Sesungguhnya ia adalah peluang untuk kita berbuat kebajikan dan peluang untuk kita menambah pahala, Namun, kalau kita berlaku sebaliknya , pastilah kita akan mendapat bala dan balasan dosa daripada kerja yang dilakukan. Sepatutnya semakin banyak kerja, semakin banyak pahala dan ganjaran kebajikan yang diperolehi, dan bukan semakin banyak dosa yang kita lakukan.
Mencari rezeki yang halal
Hampir semua orang yang bekerja , bersetuju bahawa niat mereka datang bekerja adalah untuk mendapatkan rezeki yang halal untuk anak isteri mereka. Sudah pastilah, tidak mencukupi dengan menyatakan bahawa , "saya hadir bekerja ikut waktu setiap hari, maka saya sudah mendapat rezeki yang halal". Walhal, kadangkala di dalam waktu bekerja, ramai yang curi tulang, malas, tidak bersungguh-sungguh, riak , mengambil waktu kerja untuk kepentingan diri sendiri dan tidak pernah pula menggantikan setiap masa yang diambil itu.
Ada kejadian di sebuah sekolah apabila ada staf sekolah yang memulakan kerja lewat terutamanya pada setiap hari jumaat, pada sebelah petang atau selepas waktu rehat tengahari. namun, mereka akan balik tepat pada jam 4 .00 petang. paling lewat pun pada jam 4.01, 4.02petang. Setiap kali lepas jumaat , mereka akan masuk bekerja pada jam 3.00 petang, 3.15 petang atau 3.30 petang dan akan tetap balik pada jam 4.00 petang. Perkara ini berlarutan berpuluh tahun.
Saya persoalkan, bilakah puan akan mengganti keseluruhan masa yang diambil ini untuk menghalalkan gaji puan? Puan dibayar gaji mengikut masa dan oleh kerana puan tidak bekerja pada waktu-waktu yang 'dicuri', maka apakah status duit yang puan terima itu? Apakah ia 'duit haram?'
Saya beritahu staf dan guru saya, cara saya amat mudah. jika tuan-tuan telah mengambil masa bekerja untuk kepentingan peribadi , sila ganti semula walau apa cara sekalipun. Baliklah lewat sedikit dan cukupkan jumlah jam yang diambil atau 'bayar dulu' dengan tidak mengambil waktu rehat atau datang awal dan balik lewat pada setiap hari supaya jika kita terambil waktyu bekerja kita, maka ia sudah dibayar terlebih dahulu.
Saya sering ingatkan ,"janganlah kita datang dengan niat untuk mendapatkan rezeki yang halal, namun apabila kita balik pada waktu petang rezeki haram yang kita suapkan ke mulut anak-anak dan isteri kita" . Akibatnya sudah pastilah rezeki kita tidak berkat dan tiada ketenangan di dalam kehidupan kita.
Tugas dan Amanah
Setiap kita perlu sedar, inilah kerjaya kita. Di dalam kerjaya kita ini ada tugas dan amanah yang dibawa bersama. Tunaikanlah tugas dan amanah ini sepenuhnya. ini kerena setiap tugas dan amanah ini dipertanggungjawabkan kepada kita untuk menjawabnya di depan Allah sama ada kita telah menunaikannya atau tidak. Jika sudah , maka Alhamdulillah. Jika belum atau gagal, tunggulah balasan Allah. Oleh itu , tugas dan amanah ini tidak boleh dilakukan dengan main-main atau sambil lewa.
Menyumbang kepada kesejahteraan organisasi dan ummah/ warga
Para guru dan kakitangan serta pelajar perlu disedarkan akan kewujudan mereka di muka bumi ini adalah untuk membawa kesejahteraan. Justeru itu , kalau dikaitkan dengan organisasi sekolah, maka, kehadiran guru di sekolah adalah berperanan untuk menyumbang kepada kesejahteraan, kecemerlangan sekolah dan seluruh warganya.
Di dalam menyumbang ini pula, ia terdiri daripada 2 perkara. Pertama ia berkaitan denga tugas rutin kita dan yang kedua adalah aspek sumbangan lain di luar tugas rutin kita seharian demi melonjakkan kecemerlangan sekolah. Contohnya jika seorang guru itu mempunyai kepakaran di dalam bidang latihan bolasepak, dia tidak seharusnya tamat setakat menguruskan pasukannya bertanding di peringkat daerah dan negeri sahaja. Namun dia haruslah merancang pembangunan bolasepak itu sendiri dengan menubuhkan pasukan pelapis, mengadalan latihan berterusan sebagai persiapan untuk mencaapai kejayaan yang lebih baik pada tahun berikutnya.
Setiap guru , staf atau warga sekolah harus punyai sikap berlumba-lumba dan bangga dapat menyumbang sesuatu untuk kepentingan dan kemajuan sekolah. Setidak-tidaknya kita berbangga bahawa kehadiran kita di sekolah itu bermakna. Janganlah pula sampai kita dicop sebagai; Ada serupa tiada atau lebih teruk jika dikatakan, 'lebih baik tiada daripada ada'. Jadilah seperti tingglan tapak di tanah becak, yang apabila kering akan meninggalkan kesan dan walaupun hujan datang , ia akan tetap berada di situ dan bukannya seperti kesan tapak di air yang lalu, yang habis begitu sahaja dan tidak akan meninggalkan kesan selepas itu. Maknanya, walaupun , kerja yang kita lakukan itu sukar, payah, namun ia menimbulkan kepuasan pada diri dan meninggalkan kenangan indah buat kita sendiri dan warga yang akan mengingatinya dalam jangka masa yang lama.
Bukti Kualiti diri
Satu perkara lagi yang berkaitan dengan kenapa kita bekerja ialah, ia sebagai bukti kualiti diri kita. Saya tegaskan kepada orang bawahan saya akan makna kualiti: Kualiti itu bermaksud:
1. Memberikan kepuasan kepada penerima
2. Bernilai tinggi dan dihargai/ dipuji
3. Menjadi ikutan/ model/ Benchmark
4. Tiada kecacatan/ komen negatif
5. Meninggalkan kesan positif
6. Tidak memalukan
Justeru itu setiap warga sekolah mestilah berpegang kepada perkara di atas sebagai satu prinsip di dalam menilai mutu kerja kita dan meletakkan sasaran di dalam setiap tugas yang dijalankan.
Oleh itu, memang banyak perkara yang perlu dihayati oleh semua warga bagi memastikan pencapaian sekolah kita cemerlang. Hala tuju dan asas yang betul di dalam menjalanknn tugas perlu dipatuhi dan diamalkan bagi mencapai kejayaan. Ia perlu dijadikan budaya seharian dan menjadi identiti setiap warga .
Saya yakin jika semua warga memegang utuh setiap perkara di atas di dalam menjalankan tugas, sama ada sebagai guru, staf atau pelajar, maka tiada ruang untuk kita tidak cemerlang atau menemui kegagalan.
Kebiasannya , taklimat saya kepada staf dan guru baru akan mengambil masa sekitar 30 minit dan ia sudah menjadi rutin pada setiap kali guru baru atau staf baru melapor diri kepada saya. Namun ini adalah sebahagian daripada keseluruhan isi taklimat saya kepada mereka.
Saya perlu tegaskan perkara ini kerana mahukan agar mereka:
1. Memahami betul-betul halatuju dan budaya sekolah
2. Mendapat 'first hand' maklumat terus dari Pengetua
3. Tidak mahu fikiran mereka ini dikelirukan dengan pelbagai tafsiran daripada guru dan staf lain yang
mempunyai pelbagai tafsiran sendiri dan perspektif yang berlainan.
4. Menerima mereka seadanya tanpa prajudis
Alhamdulillah, sedikit demi sedikit kesannya telah mula terlihat dan kecemerlangan semakin dikecapi satu demi satu...
MESYUARAT AGONG PIBG 2020/2021 , 29 FEB 2020
-
Alhamdulillah, akhirnya mesyuarat Agong PIBG kali ke 32 , SMK Senawang
pada tahun 2020 ini telah selamat disempurnakan oleh YB Senator Dr. Hj.
Azam Bin Ha...
4 years ago