PENGALAMAN di dalam menguruskan sekolah terutamanya berkaitan dengan disiplin pelajar sebenarnya banyak mengajar kita erti kehidupan. Masalah di sekolah terutamanya berkaitan disiplin, selalunya ditimbulkan oleh golongan pelajar yang bermasalah. masalah itu bermacam-macam. Kadangkala masalah itu berpunca daripada diri sendiri. Kadangkala berpunca daripada sistem di sekolah itu sendiri, keluarga, rakan-rakan , masyarakat dan pelbagai lagi. kategori pelajar yang terlibat ini pun ada jenis-jenisnya. Ada yang tegar, sukar berubah. Ada juga yang ingin berubah, tetapi tidak tahu bagaimana nak berubah.
Saya teringat kisah yang saya alami semasa bertugas di sebuah sekolah Felda di Gemas. Suatu hari saya didatangi oleh Guru Penolong Kanan Hem saya dengan membawa bersama seorang pelajar. Seingat saya , kejadian ini berlaku pada tahun 2009 sekitar bulan Mei. Ketika itu saya hanya baru beberapa bulan sampai di sekolah itu (2008). Pelajar yang dibawa kepada saya itu adalah pelajar lelaki , tingkatan 5.
'Cikgu!, saya ingat kita buang sajalah pelajar ini. ', kata GPK Hem saya itu.
"Apa masalahnya pelajar ini,", kata saya meminta kepastian sebelum bersetuju dengan cadangan guru berkenaan.
" Banyak masalahnya dia ni. Ponteng kelas dan macam-macam lagi. Dia pun dah dua kali kita buang ni. Ini masuk kali ketiga ni, cikgu!. " tambah GPK Hem itu.
Apa yang saya lihat , pelajar ini nampak lembut dan tidaklah jahat sangat.
"Dia ni nampak lembut ni Cikgu. Kecil aje. Tu pasallah orang panggil dia nyamuk.", sambung GPK saya lagi.
"Lagipun di ni duduk di kelas belakang ni..belajar pun tak boleh...", sambung guru itu.
Saya bagi tahu GPK saya, 'Beginilah, cikgu tinggalkan dia dengan saya sekejap.".
Setelah guru berkenaan beredar dari pejabat saya, saya hampiri pelajar ini dan pegang bahunya sambil bertanya, " Awak nak berubah tak?".
"Nak cikgu, " jawabnya tegas dan yakin.
"Betul ni..", kata saya untuk dapatkan kepastian.
"Betul, Cikgu!, " katanya lagi.
"O.k Macam ni lah..kalau awak betul nak berubah, malam esok kita ada program konvoi ke masjid Jelai 2. Ada majlis baca yasin dan solat hajat. Saya tunggu kamu di sana nanti", kata saya memujuknya. Malam berkenaan adalah hari pertama pihak sekolah di bawah BADAR mengadakan program "Jom Konvoi ke Masjid". Program in bercorah dwi bulanan dan akan beredar dari satu masjid ke satu masjid.
Pada malam itu, sesampainya di masjid , saya mencari-cari alam pelajar berkenaan. Dalam hati terdetik juga perasaan, "jangan-jangan dia ni tipu aku tak?". Namun cepat-cepat saya padamkan prasangka berkenaan . "Mungkin belum sampai lagi. Tak apalah", kata saya memujuk hati.
Selesai solat maghrib, majlis baca yasin pun bermula. Saya duduk di bahagian hadapan bersebelahan dengan ustaz dan imam masjid di samping beberapa bapa-bapa dan pelajar lain. Seketika kemudia saya ternampak pelajar ini masuk ke ruang solat dengan memakai jubah dan kopiah! " Alhamdulillah', bisik hati saya sambil terperanjat juga. Tidak disangka sama sekali pelajar ini akan datang dan dalam keadaan seperti itu. Saya memerhatikannya dan dia juga melihat ke arah saya sambil tersenyum. Saya angkat ibu jari saya menandakan 'bagus', ke arahnya. Dia tersenyum lagi . Selepas tamat majlis pada malam itu, saya berjumpa dengannya dan bersalaman sambil mengucapkan tahniah! Dia tersenyum lagi. Di dalam hati berkata-kata, mudah-mudahan dia berubah!
Pada petang keesokkannya, ketika menuju ke kantin sekoalah sekitar jam 4 petang , saya terlihat pelajar ini datang ke sekolah dengan memakai kopiah putih di kepalanya. 'Wah....Ini benar-benar hebat!, bisik hati saya". Pelajar ini kemudiannya turut bersama menunaikan solat asar pada petang itu di surau.
Dua minggu kemudian, ketika majlis yang sama dilangsungkan di Masjid Jelai 3, saya ternampak
pelajar ini masuk ke ruang masjid dengan memakai jubah dan berserban! 'MasyaAllah..'biar betul..'bisik hati saya.
Selepas majlis selesai dan ketika saya hendak balik ke Seremban pada malam itu, saya berjumpa dengan yang sedang berbual bersama pelajar-pelajar BADAR yang lain. Saya katakan padanya , 'Bagus!'. Dia tersenyum .
"Cikgu, cikgu ada jubah dan serban tak cikgu". Kata-katanya itu benar-benar memeranjatkan saya. Memang terlalu cepat perubahan sikapnya ke arah kebaikan.
"kalau ada, saya nak, cikgu", katanya lagi dengan penuh minat.
"Boleh , esok saya akan bawakan", kata saya kembali kepadanya.
Sejak itu, saya dapati pelajar ini telah berubah 360 darjah! Pelajar ini berubah menjadi pelajar yang akan sentiasa datang awal ke sekolah, rajin dan tidak ponteng sekolah atau kelas, akan sentiasa ada di surau berjemaah zuhur, asar, maghrib dan isyak, mengikuti Qiamullail bersama pelajar BADAR dan tidak tinggal dengan kopiahnya ketika datang kembali pada waktu petang ke sekolah! Apa yang lebih memeranjatkan saya, pelajar ini kemudiannya sudah boleh menjadi imam solat dan membaca doa di surau..! MasyaAllah..! Sejak itu tidak kedegaran lagi guru-guru bercerita tentang keburukan pelajar ini. Yang ada cuma kepelikan guru-guru melihat perubahan sikap pelajar ini yang berubah 360 darjah , menjadi pelajar yang baik.
Sekitar bulan Jun, pelajar ini datang berjumpa saya di pejabat mengadukan akan keadaan pelajar di dalam kelasnya yang bising dan tak mahu belajar. Dia meminta saya masuk ke kelas berkenaan dan memarahi pelajar yang bising dan malas belajar itu.
"Tolonglah cikgu, saya nak belajar tak boleh. Pelajar di dalam kelas saya bising", katanya mengadu.
"o.k lah..saya akan masuk nanti", kata saya menyokongnya.
"Cikgu, sebenarnya saya menyesal lambat sedar! Saya cuma ada 4 bulan lagi untuk SPM. Saya takut gagal", katanya memperlihatkan kekesalannya.
Saya berasa sayu mendengarkan kata-katanya itu. Saya lihat wajahnya dan pegang bahunya.
" Tak apa", kata saya menguatkan semangatnya.
"Kamu patut bersyukur...Allah dah buka pintu hati kamu untuk berubah ke jalan yang baik. InsyaAllah , kalau kamu terus berubah dan tidak tinggalkan solat serta berbuat baik, Allah akan bantu kamu berjaya. Percayalah!", kata saya.
"Kamu jangan bimbang", kata saya lagi.
"InsyaAllah , cikgu dan terima kasih cikgu", katanya sambil bersalaman dan mencium tangan saya sebelum keluar dari bilik saya.
Saya terdiam sebentar di dalam kekaguman akan kebesaran hidayah Allah. Allah memilih untuk memberikan hidayah kepada pelajar yang tidak pernah diberikan harapan untuk berubah dan perubahan yang tidak pernah orang lain sangkakan. Inilah yang selalu saya beritahu kepada guru-guru saya. Janganlah kecewa dengan pelajar kita. Kita cubalah didik mereka sehabis baik dan pelbagai cara. kalau takdir tak juga berubah, anggaplah Allah belum berikan mereka hidayah. Lagipun, kata saya apa nak dihairankan. Ada orang sampai tuan pun Allah masih tak bagi dia hidayah, inikan pula pelajar kita yang masih muda..doa ajelah..
Alhamdulillah daripada perbualan dengan beberapa orang kampung sekitar Felda yang mengenali pelajar ini, semuanya melahirkan kekaguman dan menghambur pujian.
"Budak tu dulu cikgu, hoi...peleset dulu tu , cikgu!. Tapi sekarang ini, tak pernah tinggal solat lima waktu di masjid...Tak tau macam mana dia boleh berubah!..", kata seorang ustaz di Felda berkenaan.
Kebesaran dan janji Allah juga terbukti benar. Pelajar ini mencapai keputusan lulus semua mata pelajarannya dan terus layak ke tingkatan 6! .....daripada pelajar yang tidak pernah lulus semua mata pelajarannya...
(Semoga pelajar ini beroleh kejayaan di dalam hidupnya dan menjadi insan yang kukuh imamnya, Amin..)
MESYUARAT AGONG PIBG 2020/2021 , 29 FEB 2020
-
Alhamdulillah, akhirnya mesyuarat Agong PIBG kali ke 32 , SMK Senawang
pada tahun 2020 ini telah selamat disempurnakan oleh YB Senator Dr. Hj.
Azam Bin Ha...
4 years ago
No comments:
Post a Comment