Monday, November 9, 2015

KISAH KESUSAHAN HIDUP ANAK MURID ...

Sebagai guru yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun dan banyak bergaul dengan para pelajar, pelbagai kisah sedih kehidupan anak murid yang dapat kita hayati. Ia memberikan kesedaran dan keinsafan tentang betapa ramai lagi pelajar -pelajar kita yang mengalami kesukaran di dalam hidup ini.
Salah satu kisah sedih yang amat menghibakan hati ialah apabila seorang pelajar dengan 7 orang adik-beradik yang ditinggalkan oleh kedua-dua ibubapanya di bawah jagaan nenek yang berusia 75 tahun dan hanya mendapat upah membersihkan masjid dengan upah sebanyak RM200 sebulan.
Kedua-dua ibubapanya telah bercerai dan membawa haluan masing-masing dan tiada khabar berita hingga kini.
Air mata saya hampir menitis apabila mengenangkan kesusahan yang dialami oleh pelajar ini dan melihatkan kesukaran yang terpancar di wajah nenek berkenaan. Terimbas kenangan semasa di kampung dahulu semasa kecil dan di dalam suasana yang amat sukar dengan kemiskinan keluarga dan kesukaran kedua-dua ibubapa saya.
Hasrat untuk 'memaksa' pelajar ini memastikan agar bersedia dengan segala keperluan sekolah, saya tangguhkan dan terpaksa memotong kata-kata nenek berkenaan kerana saya tidak mampu untuk 'mendengar' kepayahan yang dialami oleh beliau dan kesukaran saya menatap kesedihan wajah pelajar yang berada di depan saya.
Sebagai orang yang pernah merasai kesukaran hidup, saya amat terasa akan perasaan yang ada pada diri pelajar ini.
Saya hanya mampu mencapai kertas dan mencatatkan sesuatu kepada guru koperasi sekolah dengan mesej, " berikan segala keperluan yang diperlukan untuk pelajar ini belajar...."

Merubah sekolah...

Kali ini saya ingin menjawab beberapa soalan yang selalu ditanyakan kepada saya. bagaimana kita ingin merubah sesebuah sekolah daripada keadaan yang kurang berjaya kepada lebih berjaya atau untuk menjadi sekolah yang lebih cemerlang.

Seperti biasa, setiap pentadbir atau lebih tepat pengetua sekolah akan menjawab bahawa untuk merubah sesuatu sekolah atau membuat perubahan di sesebuah sekolah , perkara pokok yang perlu adalah:

1. Visi
2. Target atau sasaran
3. Perancangan
4. Tindakan
5. Pemantauan
6. Penilaian
7. Kreativiti
8. Inovasi dan sebagainya.

namun dalam penulisan kali ini saya tidak ingin sangat membicarakan hal di atas. Saya ingin membicarakan isu berkaitan , "Apakah kita perlu bertindak drastik dan cepat di dalam melakukan sesuatu perubahan di sekolah baru".

Saya memilih tajuk ini , kerana ada banyak pendapat mengenainya. Ada pendapat mengatakan kita harus membuat perubahan secara perlahan/ evolusi dan bukannya secara pantas/ revolusi.
Ada yang mengatakan kita harus melakukan pemerhatian sekurang-kurangnya sebulan atau lebih untuk memulakan perubahan.

Pada dasarnya saya bersetuju dengan kenyataan-kenyataan di atas. Namun kita harus melihat keadaan persekitaran sama ada tindakan-tindakan sedemikkian boleh dilaksanakan atau sebaliknya. Apakah keperluan untuk perubahan itu benar-benar mendesak dan ia melibatkan soal dasar.

Saya melihat, jika ia melibat soal dasar dan pokok, maka perubahan segera harus dilakukan untuk memastikan kita berada di landasan sebenar. Sebelum keretapi kita tergelincir dan masuk ke gaung dalam, eloklak kita selamatkan keretapi itu segera daripada menunggu ia hampir menjunam dan terpaksa mengangkatnya semula ke landasan dengan kos dan masalah yang lebih besar.

Bagi sesebuah sekolah, aspek asas yang perlu diberikan perhatian segera ialah:

1. Kebajikan guru/ staf
2. Kemudahan asas
3. Disiplin dan peraturan
4. P & P di dalam bilik darjah
5. Imej sekolah
6. Keceriaan dan kebersihan sekolah

Berbalik kepada persoalan pokok tadi , iaitu sama ada perubahan yang pantas atau perlahan?

Bagi saya,saya memilih untuk melakukan perubahan yang pantas. Di dalam bekerja, saya selalu menegaskan kepada guru dan staf saya iaitu untuk berjaya di sesebuah sekolah kita mestilah:

1. Cepat cipta kejayaan
2. Cipta kejayaan yang besar
3. Hasilkan kejutan

Prinsip ini sebenarnya amat baik bagi sesaorang yang terutamanya baru menerajui sesebuah sekolah atau bekerja di sesebuah sekolah baru. Ini kerana , persoalan orang yang sedia ada di sesebuah sekolah itu adalah:

1. Apakah ada perbezaan orang baru dan orang lama
2. Apakah kelainan yang dibawa
3. Apakah kejayaan yang mampu dicipta

Bagi saya untuk melalukan perubahan, tidak perlukan masa yang lama. Pengalaman lama saya, saya sudah mula bertindak selewat-lewatnya pada hari ke 4, tiba di sesuatu sekolah. Perkara pertama yang akan saya lakukan adalah:

1. Menguatkuasakan peraturan dan disiplin pelajar, guru dan staf terutamanya berkaitan kehadiran, penampilan dan kekemasan diri, merokok, kebersihan kelas dan persekitaran serta ponteng kelas. bagi saya , disiplin adalah perkara pokok dan paling asas. Tanpa disiplin , orang tidak akan berjadi dalam apa jua pekerjaannya. Setiap orang yang berjaya juga adalah orang yang kuat disiplin dirinya.



DOA IBUBAPA DIMAKBULKAN JAGALAH MULUT KITA

Kerapkali kita mendengar kata-kata para ustaz dan para guru yang mengingatkan kita tentang betapa mustajab dan makbulnya doa para ibubapa terhadap anak-anak mereka. Kita seringkali disarankan , malah digalakkan agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagian anak-anak kita. Kita juga diberitahu akan waktu-waktu yang mustajab berdoa. Namun, bagi ibubapa , terutamanya para ibu, doa mereka tiada hijabnya. Terus sampai kepada Allah. Jika waktu berdoa itu bertepatan pula dengan waktu paling mustajab, maka doa , ibubapa akan cepat dimakbulkan Allah. Kita juga dimakliumkan bahawa, setiap kata-kata kita  itulah doa. Sama ada ianya baik atau buruk, maka ia tetap suatu doa. Jika doa kita itu baik dan dimakbulkan Allah, maka bersyukurlah kita. Namun, jika doa kita itu buruk dan juga dimakbulkan Allah, maka, kita bimbang kesannya terhadap doa kita itu, terutamanya kepada anak-anak kita, yang kita sayangi. Justeru itu, ibubapa disarankan agar sentiasa berhati- hati di dalam setiap percakapan kita terhadap anak-anak.

Saya teringat satu peristiwa semasa di sebuah sekolah yang pernah saya bertugas pada sekitar tahun awal 90an dahulu. Peristiwa ini melibatkan seorang pelajar tingkata 1 yang saya tangkap kerana mencuri wang pelajar kelasnya. Hal ini kemudiannya saya maklumkan kepada penjaga pelajar ini melalui ibu saudara pelajar ini  yang juga merupakan pelajar tingkatan 5 di sekolah tersebut. Tujuannya adalah untuk memaklumkan perbuatan pelajar ini dan juga untuk mengetahui , masalah yang mendorong kepada pelajar ini melakukan perbuatan tersebut.

Pada keesokan harinya, bapa pelajar ini telah datang ke sekolah dengan perasaan yang marah. Marah di atas perbuatan anaknya yang memalukan dirinya sebagai bapa.

Apabila diberitahu bapa pelajar ini hadir, saya membawa pelajar ini ke pejabat pengetua. Setibanya di koridor berhadapan dengan bilik pengetua, saya terserempak dengan bapa pelajar ini. Tanpa sempat saya menceritakan lebih lanjut berkaitan kes yang melibatkan pelajar ini, bapanya yang dalam keadaan yang amat marah, telah menjerit menghamburkan perkataan, " celaka punya anak! aku bunuh kau ! lalu menampar muka pelajar ini dengan kuat sehingga menyebabkan pelajar ini tercampak ke dalam longkang di depan pejabat pengetua tersebut. Pukulan bapanya itu ternyata amat kuat lalu menyebabkan pelajar ini tadi menangis sambil meminta ampun. Si bapa ini ternyata masih tidak berpuashati, lalu meluru ke arah pelajar ini untuk memijaknya pula yang ketika itu berada di dalam longkang , tidak berdaya bangun. Melihatkan keadaan itu, dan memandangkan pelajar -pelajar lain turut memerhatikan kejadiaan itu, saya meluru ke arah si bapa ini dan memeluk pinggangnya  untuk menahannya daripada memijak pejalar tersebut.
Saya katakan, " Sabar, bang! jangan buat macam ini. Malu , pelajar lain tengok!
Si bapa yang masih dalam keadaan yang amat marah, terus menjerit-jerit memaki hamun si anak ini.
"Aku bunuh kau!..Aku bunuh kau!
" Kau jaga! Balik nanti , aku bunuh kau!, " katanya bertalu-talu.

Saya sabarkan si ayah ini . Saya katakan," Abang tak boleh buat begini. Saya panggil ini , hanya untuk maklumkan perbuatan anak abang!".

Seterusnya, saya terus nasihatkan , agar si bapa ini  terus balik sahaja. Saya kuathir, jika lebih lama dia berada di situ, mungkin, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi. Saya katakan, " Abang baliklah.."

Apabila si bapa tadi beredar balik, saya pergi mendapatkan pelajar tersebut yang masih menangis teresak-esak dan cuba menenangkannya. Kemudian , saya arahkan pelajar itu , pulang ke kelasnya. Saya fikir, cukuplah dengan tindakan bapanya tadi sebagai hukuman kepada pelajar ini, dan tak perlulah saya mengambil tindakan lain lagi. Cuma saya nasihatkannya agar jangan melakukan perbuatan tersebut lagi.

Kisah tersebut, tamat begitu saja. Pada saya ia telah selesai.

Namun, selang 2 minggu daripada peristiwa tersebut, sekolah digemparkan dengan berita kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah tersebut. Tambah menggemparkan, kejadian tersebut berlaku pada waktu persekolahan sekitar jam 10 pagi.

Beberapa orang pelajar datang mendapatkan saya dan memaklumkan ada pelajar sekolah tersebut telah terlibat di dalam kemalangan dan apabila disebutkan nama pelajar yang terlibat itu, saya teringat, salah seorang pelajar itu adalah pelajar yang dipukul oleh bapanya itu.  Saya bergegas ke lokasi kemalangan yang terletak kira-kira 200 meter daripada pintu pagar sekolah iaitu di selekoh berhampiran Sekolah Seri Puteri. Sesampainya di situ, saya dapati mangsa telah di bawa ke hospital . Saya dapati sebuah motosikal dalam keadaan yang remuk di bawah lori tanah.

Saya kembali ke sekolah dan tidak lama kemudian sampai berita yang memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.

Saya menghadiri pengkebumian kedua-dua pelajar ini. Keesokan harinya, saya bersama guru kaunseling telah menziarahi rumah pelajar ini dan berjumpa dengan ibunya. Si ayah tidak kelihatan di rumah ketika itu. Ibu pelajar ini sempat menceritakan keadaan pelajar ini yang cukup tertekan dengan peristiwa dia dipukul oleh bapanyanya di sekolah.  Dia berasa sangat malu!  Sejak peristiwa tersebut, pelajar ini dikatakan banyak mengurung diri di dalam biliknya dan menyatakan keengganannya untuk bersekolah lagi. Baju dan seluar sekolahnya digunting.Sejak itu juga pelajar ini tidak  lagi datang ke sekolah.

Mendengarkan cerita itu, terasa sebak pula di hati saya. Ingatan saya kembali kepada peristiwa arwah dipukul oleh bapanya itu dan kata-kata bapanya yang berulangkali menyebut mahu membunuhnya. Terfikir pula, kalau sya tidak laporkan kejadian curi tersebut kepada bapanya, mungkin perkara ini tidak akan terjadi. Namun, saya akur juga , bahawa ajal maut itu adalah ketentuan Allah. Cuma saya terfikir sejenak, adakah 'doa' bapanya itu , benar-benar telah dimakbulkan Allah....