Monday, November 9, 2015

DOA IBUBAPA DIMAKBULKAN JAGALAH MULUT KITA

Kerapkali kita mendengar kata-kata para ustaz dan para guru yang mengingatkan kita tentang betapa mustajab dan makbulnya doa para ibubapa terhadap anak-anak mereka. Kita seringkali disarankan , malah digalakkan agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagian anak-anak kita. Kita juga diberitahu akan waktu-waktu yang mustajab berdoa. Namun, bagi ibubapa , terutamanya para ibu, doa mereka tiada hijabnya. Terus sampai kepada Allah. Jika waktu berdoa itu bertepatan pula dengan waktu paling mustajab, maka doa , ibubapa akan cepat dimakbulkan Allah. Kita juga dimakliumkan bahawa, setiap kata-kata kita  itulah doa. Sama ada ianya baik atau buruk, maka ia tetap suatu doa. Jika doa kita itu baik dan dimakbulkan Allah, maka bersyukurlah kita. Namun, jika doa kita itu buruk dan juga dimakbulkan Allah, maka, kita bimbang kesannya terhadap doa kita itu, terutamanya kepada anak-anak kita, yang kita sayangi. Justeru itu, ibubapa disarankan agar sentiasa berhati- hati di dalam setiap percakapan kita terhadap anak-anak.

Saya teringat satu peristiwa semasa di sebuah sekolah yang pernah saya bertugas pada sekitar tahun awal 90an dahulu. Peristiwa ini melibatkan seorang pelajar tingkata 1 yang saya tangkap kerana mencuri wang pelajar kelasnya. Hal ini kemudiannya saya maklumkan kepada penjaga pelajar ini melalui ibu saudara pelajar ini  yang juga merupakan pelajar tingkatan 5 di sekolah tersebut. Tujuannya adalah untuk memaklumkan perbuatan pelajar ini dan juga untuk mengetahui , masalah yang mendorong kepada pelajar ini melakukan perbuatan tersebut.

Pada keesokan harinya, bapa pelajar ini telah datang ke sekolah dengan perasaan yang marah. Marah di atas perbuatan anaknya yang memalukan dirinya sebagai bapa.

Apabila diberitahu bapa pelajar ini hadir, saya membawa pelajar ini ke pejabat pengetua. Setibanya di koridor berhadapan dengan bilik pengetua, saya terserempak dengan bapa pelajar ini. Tanpa sempat saya menceritakan lebih lanjut berkaitan kes yang melibatkan pelajar ini, bapanya yang dalam keadaan yang amat marah, telah menjerit menghamburkan perkataan, " celaka punya anak! aku bunuh kau ! lalu menampar muka pelajar ini dengan kuat sehingga menyebabkan pelajar ini tercampak ke dalam longkang di depan pejabat pengetua tersebut. Pukulan bapanya itu ternyata amat kuat lalu menyebabkan pelajar ini tadi menangis sambil meminta ampun. Si bapa ini ternyata masih tidak berpuashati, lalu meluru ke arah pelajar ini untuk memijaknya pula yang ketika itu berada di dalam longkang , tidak berdaya bangun. Melihatkan keadaan itu, dan memandangkan pelajar -pelajar lain turut memerhatikan kejadiaan itu, saya meluru ke arah si bapa ini dan memeluk pinggangnya  untuk menahannya daripada memijak pejalar tersebut.
Saya katakan, " Sabar, bang! jangan buat macam ini. Malu , pelajar lain tengok!
Si bapa yang masih dalam keadaan yang amat marah, terus menjerit-jerit memaki hamun si anak ini.
"Aku bunuh kau!..Aku bunuh kau!
" Kau jaga! Balik nanti , aku bunuh kau!, " katanya bertalu-talu.

Saya sabarkan si ayah ini . Saya katakan," Abang tak boleh buat begini. Saya panggil ini , hanya untuk maklumkan perbuatan anak abang!".

Seterusnya, saya terus nasihatkan , agar si bapa ini  terus balik sahaja. Saya kuathir, jika lebih lama dia berada di situ, mungkin, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi. Saya katakan, " Abang baliklah.."

Apabila si bapa tadi beredar balik, saya pergi mendapatkan pelajar tersebut yang masih menangis teresak-esak dan cuba menenangkannya. Kemudian , saya arahkan pelajar itu , pulang ke kelasnya. Saya fikir, cukuplah dengan tindakan bapanya tadi sebagai hukuman kepada pelajar ini, dan tak perlulah saya mengambil tindakan lain lagi. Cuma saya nasihatkannya agar jangan melakukan perbuatan tersebut lagi.

Kisah tersebut, tamat begitu saja. Pada saya ia telah selesai.

Namun, selang 2 minggu daripada peristiwa tersebut, sekolah digemparkan dengan berita kemalangan motosikal yang melibatkan pelajar sekolah tersebut. Tambah menggemparkan, kejadian tersebut berlaku pada waktu persekolahan sekitar jam 10 pagi.

Beberapa orang pelajar datang mendapatkan saya dan memaklumkan ada pelajar sekolah tersebut telah terlibat di dalam kemalangan dan apabila disebutkan nama pelajar yang terlibat itu, saya teringat, salah seorang pelajar itu adalah pelajar yang dipukul oleh bapanya itu.  Saya bergegas ke lokasi kemalangan yang terletak kira-kira 200 meter daripada pintu pagar sekolah iaitu di selekoh berhampiran Sekolah Seri Puteri. Sesampainya di situ, saya dapati mangsa telah di bawa ke hospital . Saya dapati sebuah motosikal dalam keadaan yang remuk di bawah lori tanah.

Saya kembali ke sekolah dan tidak lama kemudian sampai berita yang memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.

Saya menghadiri pengkebumian kedua-dua pelajar ini. Keesokan harinya, saya bersama guru kaunseling telah menziarahi rumah pelajar ini dan berjumpa dengan ibunya. Si ayah tidak kelihatan di rumah ketika itu. Ibu pelajar ini sempat menceritakan keadaan pelajar ini yang cukup tertekan dengan peristiwa dia dipukul oleh bapanyanya di sekolah.  Dia berasa sangat malu!  Sejak peristiwa tersebut, pelajar ini dikatakan banyak mengurung diri di dalam biliknya dan menyatakan keengganannya untuk bersekolah lagi. Baju dan seluar sekolahnya digunting.Sejak itu juga pelajar ini tidak  lagi datang ke sekolah.

Mendengarkan cerita itu, terasa sebak pula di hati saya. Ingatan saya kembali kepada peristiwa arwah dipukul oleh bapanya itu dan kata-kata bapanya yang berulangkali menyebut mahu membunuhnya. Terfikir pula, kalau sya tidak laporkan kejadian curi tersebut kepada bapanya, mungkin perkara ini tidak akan terjadi. Namun, saya akur juga , bahawa ajal maut itu adalah ketentuan Allah. Cuma saya terfikir sejenak, adakah 'doa' bapanya itu , benar-benar telah dimakbulkan Allah....

No comments:

Post a Comment