Monday, July 31, 2017

BUDAYA TAKUT VS KREATIVITI

Dalam mentadbir sekolah ini , memang wujud persaingan di dalam memajukan sekolah. Setiap pentadbir, sama ada pengetua atau Guru Besar sentiasa mahu melakukan sesuatu yang hebat untuk mencemerlangkan sekolah di samping meninggalkan legasi masing-masing.

Masalah seringkali timbul apabila pengetua yang asalnya berpindah dan digantikan oleh pengetua atau guru besar yang baru. Kadang-kala kejayaan yang dicipta oleh orang sebelum itu, menjadi suatu dilema kepada yang menggantinya. Dilema sama ada mahu mengekalkan apa yang sedia ada , merubah atau menghapuskan semua legasi yang ditinggalkan  atau mencipta suatu yang baru hasil daripada apa yang ditinggalkan.

Ada yang berfikiran positif dan kreatif . Namun ada juga yang berfikiran sebaliknya. Mereka kadang-kala terasa apa yang telah dilakukan oleh pendahulunya sebagai suatu ancaman dan menggugat kredebiliti mereka sebagai ketau dan pentadbir. Ancaman itu kadang-kadang timbul daripada perasaan takut, mereka tidak dapat mencapai kejayaan dan kehebatan sepertimana pendahulu mereka sebelum ini. Timbul kekhuatiran jika nama pendahulu itu, akan sering disebut-sebut oleh warga sekolah dan sering pula dibanding-bandingkan kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai sebelum itu.
Justeru, ada yang berusaha membuang dan menghapuskan legasi pendahulunya dengan niat dan harapan agar warga sekolah tidak lagi menyebut-nyebut nama pendahulunya.

Ternyata, tindakan sebegini sebenarnya adalah suatu yang merugikan dan tindakan yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada dirinya dan warga sekolah keseluruhannya.

Bagi seorang pentadbir yang baik, sudah pasti dia tidak akan memusnahkan apa yang baik, yang tersedia ada, malah akan menambahbaik perkara berkenaan kepada sesuatu yang lebih baik. di sinilah munculnya istilah Inovasi. Tambahbaik, 'upgred' apa yang yang ada , berikan nafas baru dan jenama baru, sehingga ia di dianggap sebagai miliknya.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Jepun semasa memulakan industri kereta dahulu. Mereka menghantar para cendiakawan belajar di luar negara tentang ilmu kenderaan dan menterjemahkan segala buku-buku tersebut ke dalam bahasa Jepun. Mereka meniru serba sedikit dan kemudiaannya mereka berhasil mencipta kenderaan mengikut 'design' mereka sendiri.  Maka, lahirlah kemudiaannya kereta jenama Jepun seperti Toyota, Honda dan sebagainya. Kini, industri kenderaan Jepun sudah mengatasi kehebatan industri kereta negara yang mereka belajar dahulu.

Justeru itu, budaya inovasi seperti yang diamalkan oleh Jepun , patut diamalkan dan dilakukan di dalam pendidikan kita. Pentadbir yang baik dan hebat seharusnya memikirkan bagaimana untuk menambahbaik sesuatu perkara itu menjadi lebih hebat .






No comments:

Post a Comment